Pas menyerahkan sepenuhnya kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk membuat keputusan berhubung jawatan menteri besar di negeri itu, kata Naib Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri menjelaskan sehingga kini Pas belum memuktamadkan sebarang nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu untuk mengisi jawatan Menteri Besar Kedah yang baharu.

Secara berseloroh beliau bekara rakyat di negeri Jelapang Padi masih mempunyai menteri besar dari gabungan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Hari ini pertemuan melibatkan ADUN-ADUN dari Pas dan UMNO di Kedah yang berbincang berbagai urusan, namun secara spesifiknya tidak boleh didedahkan.

"Mengenai calon menteri besar, kita serah kepada kebijaksanaan Tuanku Sultan Kedah untuk memutuskannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takyuddin Hassan memaklumkan pertemuan di Kompleks Pas Kedah itu berlangsung selama 3 jam.

Namun beliau enggan mengulas secara terperinci pertemuan yang membincangkan mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

"(Pertemuan melibatkan) Wakil rakyat Pas dengan UMNO itu sahaja,17 orang . (Bincang) mengenai urusan Dewan (Undangan Negeri) .

"Keputusan siapa kena jadi MB kita serah kepada Sultan lah," katanya.

Pesuruhjaya Pas, Ahmad Yahaya ketika ditemui menjelaskan hasil yang positif diperoleh dari perbincangan yang diadakan hari ini membabitkan kesemua ADUN Pembangkang di negeri itu bersama kepimpinan parti masing-masing.

Terdahulu, Pimpinan Pas Negeri Kedah dilapor mengadakan satu pertemuan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar melibatkan kesemua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti tersebut.

Pertemuan ini dilihat menyusuli kenyataan Pesuruhjaya Pas Kedah Ahmad Yahaya pada Rabu, yang yakin parti itu akan mengambil alih pentadbiran negeri daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) campur Bersatu ketika ini, yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Antara yang hadir adalah Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua ADUN dari Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Norsabrina Mohd Noor serta Datuk Suraya Yaacob.