Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin mampu 'menyapu bersih' iaitu mendapat seratus peratus undi daripada masyarakat India pada hari pengundian, Sabtu ini.

Beliau berkata keyakinan itu adalah hasil maklum balas positif yang diterima daripada kaum India di daerah-daerah mengundi DUN berkenaan, selain daripada pemimpin komuniti yang menyatakan sokongan terbuka kepadanya.

"Masyarakat India juga sedar bahawa mereka telah mendapat banyak faedah daripada kerajaan negeri termasuk daripada segi pendidikan.

"Di samping itu, mereka juga mempunyai exco khusus dari kaum India yang menangani soal pekerja ladang dan pendidikan bagi kaum India," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd Zawawi, pengundi India di DUN Sungai Kandis meliputi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar iaitu seramai 51,230 orang.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Mohd Zawawi dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata berdasarkan hasil pertemuan dengan pengundi di DUN Sungai Kandis, hampir 90 peratus aduan adalah berkenaan isu setempat termasuk jalan raya dan longkang yang tidak diselenggara selain permintaan untuk menaiktaraf kemudahan rumah-rumah ibadat.

Beliau turut menjangkakan kemerosotan kehadiran pengundi pada PRK kali ini berbanding Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu dan sedang mempergiat usaha menemui seramai mungkin pengundi bagi mengajak mereka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

- BERNAMA