Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pencalonannya sebagai Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) Plus.
Baliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, beliau tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan dan dalam masa sama ingin menumpukan terlebih dahulu isu rakyat Sabah.
“Masanya akan tiba, saya ada banyak perkara yang dalam perhitungan saya. Saya amat menghargai cadangan itu, masa itu pasti akan tiba juga, saya akan buat pengumuman.
"Tunggulah dulu, sama ada sebelum bersidang, sama ada masa bersidang, saya kena tadbir negeri Sabah. Ini banyak rakyat yang dia bagi tahu, 'Datuk tolong kami'.
“Maka saya akan meneliti perkara itu. Sudah tentu negara kita juga penting, negara kita, kita sayang negara Malaysia, ini negara saya, negara kita,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Minyak Masak Jenama ‘Gold’ Keluaran Syarikat Intipati Sawit Kinabalu Sendirian Berhad, di Sandakan, pada Sabtu.

Menurutnya, dia berbangga kerana dicalonkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan akan mengumumkan keputusannya kelak.

Terdahulu, beliau dinamakan sebagai calon Perdana Menteri PH Plus oleh Tun Dr Mahathir kerana sifat kepimpinan beliau dan atas usaha beliau melawan kleptokrasi.