Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan bahawa calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden adalah lebih baik berbanding Donald Trump untuk kebaikan rantau Asia.

Ini kerana, jelas beliau, pandangan yang diutarakan oleh Trump sukar dijangka, dan kadang-kala bercanggah dengan jangkaan masyarakat negara itu terhadap polisi negara Uncle Sam itu.

"Jadi jika Joe Biden bercakap mengenai sesuatu, ia lebih meyakinkan berbanding apa yang dikatakan oleh Trump mengenai dirinya, kerajaannya, serta sikapnya terhadap pandemik ini (COVID-19)," katanya dalam temu bual bersama CNBC, pada Rabu.

Pilihan raya Presiden AS bakal berlangsung pada November depan.

Biden pernah menjadi Senator selama enam penggal sebelum berkhidmat sebagai Naib Presiden kepada Barack Obama.

Pada November 2016, Trump mengalahkan calon Demokrat Hillary Clinton untuk memenangi White House.

Biden yang cenderung memperjuangkan nasib pekerja AS sama seperti Trump, yakin dapat menawan semula sokongan pengundi kulit putih dan kolar biru.