Ketidakstabilan politik pada kepimpinan Pakatan Harapan (PH), boleh mengakibatkan jumlah pelabur asing merudum sekaligus menjejaskan ekonomi negara, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas pemilihan pengerusi parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, beliau berkata tidak mustahil jawatan itu hanya akan dipegang sementara waktu sebelum digantikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya apabila dikenang kembali pergolakan yang berlaku antara dua pemimpin itu pada tahun 1998, bukan mudah untuk Mahathir menyerahkan jawatan sebagai perdana menteri itu kepada Anwar, selepas enam bulan atau setahun memegangnya.


Khairy mengulas bahawa Anwar juga telah lama dahaga untuk merebut jawatan berkenaan, dan situasi itu mengakibatkan ketidakstabilan dalam negara sehingga mengakibatkan pelabur asing tidak yakin untuk terus melabur.

“Seperti dijangka mereka memilih Mahathir sebagai calon perdana menteri dan mereka berkata akan memohon Pengampunan Diraja untuk Anwar secepat mungkin. Pada saya ini hanya akan meningkatkan pergolakan dalam parti dan menyebabkan keyakinan orang ramai berkurangan.

“Orang pun tidak tahu selama mana Mahathir akan menjadi perdana menteri dan bila Anwar akan akhirnya mengambil alih jawatan itu. Andai saya seorang pelabur saya akan berfikir dua hingga tiga kali sebelum saya membuat pelaburan besar sebab kita tidak tahu apakah corak kepimpinan parti tersebut, siapa yang akan menjadi perdana menteri selama setahun, dua tahun.

“Maka ketidakstabilan politik akan terwujud dan ini akan menjadi masalah yang sangat besar dan bakal berlaku sekiranya mereka menang pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya BN parlimen Jelebu di Kompleks Komuniti Dun Simpang Pertang, Negeri Sembilan, pada Ahad.

Khairy turut membidas janji PH untuk memberikan hak penyiaran bola sepak luar negara kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekiranya mereka menang PRU14 akan datang.

"Kalau diberikan kepada RTM, siapa yang akan bayar? Akhirnya menggunakan wang rakyat. Katakanlah nak bersiaran kena bayar RM200 juta, takkan nak belanja begitu sahaja?" tanya Khairy.

Dalam pada itu, pada majlis yang dihadiri lebih 6,000 orang itu, Khairy turut menyeru jentera BN untuk tidak lagi leka dan menggunakan sepenuh tenaga bagi menghadapi PRU-14 ini.

Katanya, semua jentera BN perlu memainkan peranan untuk menerangkan setiap isu kepada rakyat tidak kira dimana-mana termasuk surau, kedai kopi, mahupun menerusi platform mesej seperti Whatsapp.

Pakatan Harapan hari ini menyatakan kesediaan memilih Tun Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, masing-masing sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Konvensyen Pakatan Harapan Ke-2 yang berlansung di Shah Alam.

Ketua Setiasuaha Sektretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah yang membuat pengumuman itu turut berkata kerajaan pimpinan PH akan berusaha untuk memohon Pengampunan Diraja untuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.