Cara ahli-ahli politik mengemukakan hujah tentang hudud tidak meyakinkan, kata Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dari Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh UIAM.

Menurut beliau, hukum hudud boleh dilaksanakan di Malaysia asalkan pelaksanaan itu dilakukan dengan bijaksana.

“Cara orang-orang politik kemukakan hudud dalam style mereka itu, tidak meyakinkan. Jadi orang politik perlu ambil kepakaran, sama ada dalam parti atau di luar parti,” kata Dr Mahmood kepada Astro AWANI selepas menyertai forum ‘Hudud: Antara ideal dan realiti’ pada Khamis.

Beliau mencadangkan agar hudud itu diperkenalkan secara berperingkat, dan bukannya diperkenalkan sekali gus.

“Al-Quran pun turun dalam masa yang begitu lama. Saya hendak cadangkan supaya ia diperkenalkan akta demi akta. Kalau tengok akta ni dah okay, (perkenalkan) akta lain pula,” kata Dr Mahmood lagi.

Selain itu, beliau berkata tidak bersetuju sekiranya undang-undang besar seperti hudud ini hanya dilaksanakan di peringkat negeri.

Beliau sebaliknya mahu undang-undang itu dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu, Dr Mahmood menggesa kerajaan persekutuan tidak cepat menolak undang-undang jenayah syariah atau hudud yang dibentang kerajaan negeri Kelantan.

Bagaimanapun, beliau juga menyeru kerajaan negeri itu supaya tidak tergesa-gesa dalam menekan kerajaan persekutuan untuk menerima undang-undang tersebut.

“Jadi perundingan perlu dilaksanakan… satu panel, dua panel, tiga panel. Saya masih ragu-ragu, dan saya rasa ada kegopohan sedikit,” tambahnya.

Pada 19 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2015) atau hudud.

Menurut laporan, kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) turut menyokong rang undang-undang itu.

Turut menyokong, kesemua 31 anggota dewan daripada PAS dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR-Guchil) Mohamad Roslan Puteh.