Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini bakal memberi isyarat kepada seluruh rakyat Malaysia tentang keupayaan Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan parti-parti politik yang mampu bekerjsama menjayakan agenda rakyat dan negara.

Presiden dan Pemangku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata seluruh jentera dan akar umbi partinya di Pekan telah digerakkan bagi memastikan kemenangan milik calon BN, Mohd Shahrim Md. Zain.

Katanya, gerakan kempen memastikan kemenangan BN ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin-peimpin kanan Bersatu dari seluruh negara.

"Kesepakatan dan kematangan parti-parti Perikatan Nasional untuk berkempen serta berkongsi pentas politik secara terbuka di PRK Dun Chini adalah satu langkah bersejarah ke arah pembentukan perikatan ini menjadi gabungan politik yang kukuh dan mantap," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru bagi memastikan kemenangan milik BN, Muhyiddin menyeru 20,990 pengundi berdaftar di Dun Chini agar keluar beramai-ramai dan memberikan sokongan padu kepada Mohd Shahrim.

"Pilihan anda bukan sahaja bakal menentukan pembangunan serta masa hadapan Chini, tetapi akan membuka lembaran baharu kepada hala tuju politik di peringkat nasional," katanya lagi.

Selain Mohd Shahrim, dua calon bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 turut bertanding di PRK Dun Chini.

Daftar pemilih bagi PRK Dun Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.

Pemilih terdiri daripada 10,269 lelaki dan 10,721 perempuan.

Dun Chini, yang merupakan satu daripada empat Dun di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.