Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini menyaksikan satu sejarah apabila ia dijalankan dalam normal baharu di kala negara berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Proses pengundian hanya melibatkan 18 pengundi awal dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) N23, Datuk Zaliza Zulkipli, proses pengundian dalam normal baharu itu berjalan seperti dirancang.

“Alhamdulilah pada hari ini proses pengundian dimulakan jam 8.00 pagi. Proses ini berakhir pada 12.00 tengah hari.

"Sepanjang PRK ini berlangsung, setakat ini saya dapati berjalan lancar dan teratur.

“Hari ini sendiri kalau kita lihat proses pengundian awal mengikut SOP baharu sebab kita dalam suasana COVID-19.

"Pematuhan SOP setiap pengundi mereka dikehendaki menjalani proses pengesanan suhu badan,” katanya.

Bagi Koperal Wan Nur Eza Ilmi Wan Zahari, 31, mengundi dalam normal baharu itu menjadi sejarah bagi dirinya.

”Bagi saya, PRK ini berbeza daripada undi biasa, hanya 18 anggota polis sahaja mengundi. Perjalanan mengundi ini perlu memastikan penjarakan sosial, sanitasi tangan dan kita hanya dibenarkan berus jari sekali sahaja dan tidak digunakan lagi.

“Kalau ikutkan rasa gembira kerana jarang-jarang orang dapat peluang macam ini,” katanya.

Pengalaman sama dikongsi Koperal Zambry Mohd, 41, yang menyifatkan SOP ketat ketika proses pengundian dapat memastikan keselamatan semua yang terlibat.

“Pengalaman ini satu sejarah pada kita pertama kali mengundi ikut SOP sebab wabak COVID-19, pengalaman berharga pada kita semua.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan SOP dibuat SPR adalah mengikut apa yang disarankan, dan saya rasa selamat sebab ikut SOP ini,” katanya.