Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini melihatkan pendekatan normal baharu dalam kempen yang dijalankan oleh setiap calon.

Bermula dengan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, kempen bertemu pengundi dijalankan dengan penuh tertib.

Sharim yang juga generasi kedua Felda itu beramah mesra bersama pengundi di Kompleks Pasar Tani Kekal di Bandar Dara, Chini, di sini kira-kira jam 9.30 pagi.

Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hisham Tengku Hussin (dua, kiri) beramah mesra bersama para peniaga ketika berkempen di Bandar Dara Felda Chini hari ini.
- Foto BERNAMA

Selang kurang 30 minit, seorang lagi calon bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, turut mengadakan kempen yang sama di kawasan itu.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati, kedua-dua calon tidak terlepas untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Turut hadir mengadakan pemerhatian sepanjang kempen, petugas khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), SPR dan wakil calon.

Sementara itu seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, pula memaklumkan setakat ini kempennya hanya akan dijalankan menerusi media sosial sahaja.



PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lepas akibat serangan jantung.

SPR menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan hari pengundian awal pada 30 Jun.