Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya di Seri Mutiara, George Town.

Pada istiadat itu, Kon Yeow, 60 tahun menerima surat pelantikan, diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Ketua Menteri.

Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Kon Yeow mengetuai kerajaan negeri setelah parti gabungan Pakatan Harapan( PH) memenangi memenangi 37 kerusi daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke 14, 9 Mei lepas.

Chow menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus. - Foto Bernama

Selain DUN Padang Kota Kon Yeow menang di Kerusi Parlimen Tanjong.

Hadir sama dimajlis itu ialah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan yang dfilantik dan Isteri, Betty Chew.

Turut hadir barisan Adun Pakatan Harapan Negeri menyaksikan istiadat berkenaan.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Dap Negeri, sebelum ini menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Lalulintas dan Tebatan Banjir Negeri menggantikan Guan Eng yang memegang jawatan Ketua Menteri selama dua penggal dalam tempoh 10 tahun.

Guan Eng melepaskan jawatan Ketua Menteri selepas beliau kini dilantik sebagai Menteri Kewangan.

DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekal kemenangan apabila memenangi 12 kerusi Parlimen dan 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).