Malaysia boleh meneroka kemungkinan untuk mengadakan persidangan Parlimen secara dalam talian atau E-Parlimen bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang jangkitan COVID-19.

Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik, Kuala Lumpur, Prof Datuk Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, langkah itu bagi memberi ruang untuk Parlimen bersidang tanpa menyebabkan kegagalan pematuhan SOP khususnya aspek penjarakan sosial.

Bagaimanapun kata beliau, perkara itu perlu mendapat persetujuan semua pihak dalam kerajaan serta pembangkang.

"Saya tidak pasti dalam aspek perundangan Malaysia adakah ia boleh dilakukan secara dalam talian, tetapi sekiranya boleh, ini merupakan pilihan terbaik untuk semua pihak susulan pandemik COVID-19.

"Sidang berkenaan boleh dilakukan dalam tempoh lebih lama berbanding melakukannya secara fizikal. Pelbagai cara boleh kita lakukan bagi memastikan semua Ahli Parlimen menyertai sidang tersebut," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Awang Bulgiba berkata, jika sidang Parlimen diadakan secara fizikal, aspek pematuhan SOP perlu dititikberatkan oleh semua pihak.

"Aspek pertama ialah mengurangkan kehadiran kepada yang perlu sahaja, malah bilangan Ahli Parlimen dihadkan untuk mencukupkan korum sahaja supaya penjarakan sosial dapat dipatuhi.

"Dewan juga disarankan untuk melakukan operasi sanitasi termasuk membabitkan peralatan dewan serta penghawa dingin untuk memastikan tempat itu benar-benar selamat.

"Selain itu, sidang ini juga perlu membincangkan perkara-perkara penting sahaja dan tidak melibatkan tempoh masa yang lama seperti sebelum ini," jelasnya.