Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Radzi Jidin menyanggah dakwaan bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Marzuki Yahya bahawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu tidak pernah membuat keputusan keluar Pakatan Harapan (PH).

Menurut Radzi, Mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari lalu telah membuat keputusan yang jelas untuk keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar PH.

Menteri Pendidikan itu juga mendakwa perancangan untuk membawa keluar Bersatu dari PH diketahui dan disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Hanya di saat-saat akhir dimana perancangan ini sepatutnya dilaksanakan, YABhg Tun mempunyai pendirian yang berbeza dengan pendirian parti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Radzi menjelaskan Dr Mahathir dan pimpinan Bersatu tidak selesa desakan yang dibuat oleh PKR dan DAP supaya jawatan perdana menteri dilepaskan.

Katanya, disebabkan desakan agar Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri itu, ramai dalam kalangan pimpinan Bersatu berpandangan bahawa sudah tidak ada lagi kesepakatan dalam PH.

"Selain itu, pimpinan dan ahli parti di pelbagai peringkat juga tidak selesa dengan tindak tanduk parti DAP dan mereka rata-rata mahu parti mengkaji semula hubungan Bersatu dengan DAP dalam PH.

"Justeru, demi kelangsungan perjuangan parti di masa hadapan, langkah mula diambil untuk membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu," katanya lagi.

Radzi turut menjelaskan ketika mesyuarat Bersatu pada 23 Februari, mesyuarat MPT Bersatu dimaklumkan bahawa Dr Mahathir telah mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat yang terdiri daripada Bersatu, UMNO, Pas, GPS, Warisan dan sebahagian ahli parlimen PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Namun jelas beliau Dr Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan ini dan disebabkan itu MPT Bersatu bersetuju memberikan sedikit masa kepada beliau untuk mengumumkan keputusan yang telah dipersetujui oleh mesyuarat MPT.

"Dengan kata lain, keputusan untuk keluar dari PH telah dibuat, cuma pengumumannya sahaja ditangguhkan," jelas beliau.

Radzi turut mengulangi bahawa mengikut perlembagaan, Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan maka Presiden hendaklah memangku jawatan tersebut sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baharu.