Perjumpaan antara individu yang didakwa sebagai dalang di sebalik usaha mengguling kerajaan dengan Perdana Menteri yang sepatutnya diadakan pada 6 petang Ahad dibatalkan atas permintaan individu itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun yakin pertemuan baharu akan diatur antara individu berkenaan yang dikatakan ingin berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memohon maaf.

"Saya faham ada wartawan yang berkumpul di kediaman Perdana Menteri di Jalan Duta dan juga Seri Perdana pada hari berkenaan.

"Saya tidak tahu bila pertemuan baru tapi saya pasti pertemuan akan diadakan," Ahmad Zahid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini, hari ini.

BACA: Komplot guling kerajaan: Lagi penafian Ahli Parlimen BN

BACA: Tiada kelibat tokoh politik di rumah PM

Ditanya mengapa perjumpaan itu dibatalkan, jawab Ahmad Zahid, ia berikutan kehadiran ramai pengamal media.

"Sebab ramai wartawan tunggu dia."

Ditanya siapakah identiti individu terbabit, beliau berkata perkara tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum berikutan ia akan menjejaskan proses siasatan polis.