Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat bukan pilihan terbaik untuk mentadbir negeri itu memandangkan parti berkenaan gagal menyelesaikan isu-isu berbangkit sepanjang lapan tahun memerintah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata sepanjang tempoh itu, kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menyelesaikan isu berkaitan kesesakan lalu lintas, harga rumah yang tinggi, pencemaran alam sekitar, penambakan laut dan pembangunan lereng bukit.

Beliau berkata sebelum memenangi pilihan raya umum 2008, DAP berjanji menghentikan penjualan tanah melalui usahasama dengan syarikat swasta dan penambakan laut.

"Dulu dia (Lim Guan Eng) mengkritik parti Gerakan kerana katanya pada waktu itu sebelum mereka menang (pilihan raya umum) 2008 kononnya banyak tanah dijual...jadi mereka minta sokongan pada rakyat Pulau Pinang untuk menghentikan kegiatan menjual tanah dengan mengundi DAP.

"Dulu dia tuduh BN (Barisan Nasional) membuat pembangunan di atas lereng-lereng bukit. Sekarang, selepas jadi ketua menteri kita nak tanya sama ada janji itu dah ditepati atau tidak," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh, di sini pada Sabtu.

Abdul Rahman berkata DAP perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada mereka telah berjaya menyelesaikan isu-isu dan menunaikan janji-janji mereka pada pilihan raya umum 2008.

"Kalau belum selesai maknanya mereka gagal. Saya masih melihat dan bercakap dengan rakyat, isu itu masih berleluasa...mereka gagal untuk memenuhi apa yang mereka janjikan," katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan kerajaan negeri menjual tanah secara usahasama dengan pihak swasta bukan satu strategi yang baik dalam pentadbiran kerajaan.

"Sebuah kerajaan negeri itu mesti mampu untuk menjana pendapatan bukan dengan menjual hartanya tetapi dengan aktiviti ekonomi pelaburan dan sebagainya," kata beliau.

Sementara itu, UMNO Permatang Pauh meluluskan tanpa bahas usul menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul lain dibawa UMNO Permatang Pauh ialah menolak campur tangan asing di Malaysia, pengemaskinian keahlian anggota UMNO di semua peringkat, menangani keganasan dan memelihara kehormatan wanita serta mempertahankan kesucian agama dan salah guna media sosial.