DAP hanya memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan bukannya parti itu sendiri.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mereka tidak pernah memutuskan apa-apa hubungan dengan PAS dan Abdul Hadi itu tidak mewakili parti itu secara keseluruhan.

“Anda perlu tahu bahawa Pakatan Rakyat tidak hanya terdiri dari Hadi, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia terdiri dari PAS, PKR dan DAP… adakah anda ingin katakan Pakatan Rakyat terdiri dari ketiga-tiga individu ini?

"Jika PAS tidak memahami prinsip asas ini dan saya tak boleh buat apa,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelas Guan Eng, DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi sebagai individu dan bukannya sebagai parti.

Beliau dalam pada itu juga mendakwa bahawa kemungkinan PAS adalah punca yang menyebabkan perpecahan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Guan Eng mengakui bahawa perletakan jawatan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam pentadbiran negeri itu, merupakan satu kehilangan.

“Kita merasakan ia satu kehilangan, tetapi malangnya PAS tidak merasakan begitu. Jadi saya tidak faham,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut menyoal mengapa PAS tidak turut merasakan apa yang dirasa oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada Sabtu lepas meluluskan usul yang dibawa Dewan Ulama PAS pusat tanpa dibahas bagi memutuskan hubungan dengan DAP susulan beberapa kenyataan pimpinan parti itu terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam isu hudud.

Bagaimanapun usul berkenaan mahu PAS mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang bersama PKR.

Keputusan meluluskan usul itu diikuti dengan tindakan Mohamad Sabu atau Mat Sabu meletakkan jawatan sebagai lembaga pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang dipengerusikan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Penang International Halal Hub (PIHH).

Ia kemudiannya diikuti oleh Mujahid yang meletakkan jawatan dari lembaga pengarah Yayasan Islam dan lembaga pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab) di bawah MAIPP.