Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menjadikan DAP sebagai model perjuangannya dalam agenda memperjuangkan hak kaum Melayu dan Bumiputera.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali menegaskan, ideologi Malaysian Malaysia parti DAP wajar dicontohi kerana mereka pandai dalam menjaga agenda kaum mereka.

“Orang Cina pun ada banyak parti seperti DAP, MCA dan Gerakan. Malah kaum India pun ada banyak parti.

“Tetapi kenapa orang Cina boleh bersatu dan undi DAP? Kenapa mereka tak undi Gerakan dan MCA?

“Sebab, DAP jelas dan nyata memperjuangkan agenda Malaysian Malaysia cauvinis mereka. Buktinya, mereka mempertahankan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) (supaya) diiktiraf, menuntut dasar sama rata dan berusaha memansuhkan beberapa undang-undang,” katanya.

Ibrahim berkata demikian pada satu sidang media selepas Mesyuarat Majlis Ahli Dewan Tertinggi Putra pertama di Hotel Putra, di sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa Putra akan istiqamah secara tegas dan tidak akan apologetik dan bertolak-ansur berkenaan perkara pokok tentang kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menyindir penubuhan parti Putra yang menyifatkan “Melayu tak pernah belajar”, Ibrahim membidas dengan persoalan, "Orang Melayu tidak belajar apa?"

“Jadi kalau dia kata orang Melayu tidak belajar, dia tidak belajar apa?

“Orang Melayu tidak belajar dengan cara DAP. Perpecahan dalam kalangan orang Melayu bukan disebabkan wujud banyak parti.

“Perpecahan dalam kalangan orang Melayu adalah kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan daripada pelbagai parti politik,” tegasnya.

Ketika ditanya sama ada Putra lebih mesra kepada Pakatan Harapan atau parti pembangkang, Ibrahim memilih pendekatan mesra alam.

“Kita mesra alam. Kita mesra dengan semua orang tetapi kita tidak akan bertolak ansur dengan prinsip istiqamah," terangnya.

Putra yang diasaskan Ibrahim, juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), menjadi parti politik terbaharu diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) 8 Mei lalu.

Surat kelulusan pendaftaran Putra ditandatangani Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Masyanti Abang Ibrahim, mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.