DAP begitu konsisten menyuruh PAS keluar dari Pakatan Rakyat biarpun parti Islam itu berkali-kali menegaskan mereka akan terus kekal dalam gabungan parti pembangkang, kata ahli parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh berkata, beliau tidak mengetahui apa niat sebenar DAP yang berterusan menyerang PAS menjelang muktamar part itu Jun ini.

"Saya tak tahu apa tujuan DAP yang sebenar, tetapi nampak DAP begitu konsisten menyuruh PAS keluar dari Pakatan Rakyat sedangkan kita berkali-kali sebut kita tidak akan keluar bahkan komitmen kita dengan Pakatan tinggi.

"Isu Hudud dan Unity Goverment tidak sepatutnya memecahkan Pakatan Rakyat kerana ia mainan orang bawah, spekulasi, tidak sepatutnya pimpinan tertinggi masuk dalam isu ini.

"Hudud misalnya, kita tekankan tak kan lah kerana hudud ni nak pecah pakatan rakyat, hudud ini keadilan, pakatan rakyat dibina untuk keadilan, kalau hudud ini zalim layaklah berpecah," katanya kepada Astro AWANI di lobi parlimen hari ini.

Hubungan DAP dan PAS semakin renggang mutakhir ini dan ramai melihat Pakatan Rakyat akan berpecah akibat pergeseran dua parti ini.

PAS tetap dengan pendirian mereka mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan, manakala DAP berkeras bahawa ia tidak selari dengan perlembagaan negara.

Akibat ketegasan PAS dalam isu hudud, DAP mendakwa beberapa pemimpin PAS antaranya, Abdul Hadi cenderung untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataannya sebelum ini mendakwa, hanya jasad Abdul Hadi bersama pakatan, sebaliknya hati Presiden Pas itu bersama UMNO.

Mengulas perkara berkenann, Abdul Hadi berkata, buat masa ini, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam konflik hubungan antara DAP dengan partinya.

Katanya, fokus utama beliau kini adalah terhadap pemilihan parti kerana apa juga keputusan akan ditentukan selepas tamat muktamar kelak.