DAP mengamalkan prinsip penguasaan terhadap parti-parti dalam Pakatan Harapan, dan itu lebih penting daripada mengejar jawatan, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, perkara itu menerangkan mengapa Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak memilih untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) walaupun partinya itu dominan dalam pakatan tersebut.

“Kit Siang ini pandai kerana dia tahu bezakan kuasa dan jawatan, jadi dia memilih kuasa manakala jawatan dia gunakan untuk memperalatkan orang kecewa, seperti Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Sebenarnya dia (DAP) yang menguasai dalam PH tapi dia tahu tanpa Melayu, susah untuk mereka memerintah sesebuah negeri, contohnya seperti di Selangor dan Perak. (Mereka) perlukan seorang Menteri Besar dari kalangan Melayu, jadi mereka gunakan jawatan itu untuk menarik pemimpin-pemimpin melayu sertai mereka.

“Sekali lagi kita dapat melihat kepandaian DAP dalam memperalat, memperkudakan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH demi penguasaan mereka,” katanya dalam satu sidang media di Kamunting pada Ahad.

Noh turut memberitahu Amanah dan PPBM merupakan contoh terbaik bagaimana mereka diperalatkan oleh DAP demi kuasa.

“Kita tahu Amanah ini merupakan ahli-ahli PAS yang kecewa kehilangan jawatan sama juga macam PPBM iaitu orang UMNO yang kecewa, jadi DAP biarkan mereka masuk ke dalam PH dan biarkan mereka rebut jawatan.

“Kerana mereka (DAP) tahu sesiapapun yang memegang jawatan nanti akan terpaksa dengar juga cakap mereka sebagai parti yang menguasai,” jelas beliau.