Konsep taawun atau tolong-menolong akan diperhebat dalam agenda politik Pas pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ia termasuk menjalin kerjasama dengan blok pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain dalam menambah baik penyampaian kerajaan.

"Kita akan buka kerjasama dengan parti-parti lain yang tidak menyertai kerajaan atau yang berada di blok pembangkang termasuk NGO.

"Sudah tentu akan berlaku kelemahan-kelemahan (dalam kerajaan) pada masa hadapan kerana kita (Pas) sedar bahawa mana-mana kerajaan tidak ada yang sempurna.

"Mesti ada kekurangan. Aspek kekurangan ini yang boleh menjadi ruang kepada kita untuk menarik pengundi bukan Islam bersama dengan kita," katanya dalam temubual eksklusif 100 Hari Malaysia Baharu bersama Nazri Kahar di Astro AWANI hari ini.


Selain itu, beliau menyambut baik tindakan DAP yang tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan semberono yang boleh menjejaskan keharmonian umat Islam.

"Saya respon dengan cara yang positif apabila pemimpin DAP tidak lagi 'cirit-birit' (semberono) membuat kenyataan seperti dahulu cirit-birit membuat kenyataan.

"Dahulu dia (segelintir pemimpin DAP) membuat kenyataan tentang Islam yang tiada hak bagi dia untuk menyentuh hal-hal orang Islam tetapi sekarang tiada lagi begitu.

"Saya harap ini diteruskan. Hak orang Islam, biar orang Islam yang bercakap. Mereka boleh bela hak bagi kaum mereka sendiri dan Islam tak ganggu hak mereka," ujarnya.

Ditanya jika veteran DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menghulurkan tangan kepadanya, ini jawab beliau: "Ya, kita terima semua. sebab itu saya memperkenalkan konsep taawun, kerjasama ke arah yang baik, tidak bekerjasama bagi perkara yang tidak baik."

Pada 3 Jun 2015, Dewan Ulama Pas Pusat sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan kerjasama politik dengan DAP pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas ke-54 yang berlangsung di Gombak, Selangor.