DAP tidak akan menerima penyertaan PAS dalam gabungan baharu Pakatan Rakyat 2.0.

Menegaskan demikian, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP dan PAS kini berada di tahap tidak mungkin dapat 'rujuk' kembali kerana PAS telah mengisytiharkan DAP sebagai musuhnya.

"Bagaimana kami boleh menyertai pakatan itu bila PAS hendak bertanding menentang kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, PAS telah mengisytiharkan DAP sebagai musuh nombor satunya - dan bukan Barisan Nasional atau UMNO - maka kini jelas ia akan bertanding di kerusi-kerusi DAP.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dilaporkan berkata bahawa parti itu sedang mempertimbang untuk bertanding di kerusi-kerusi DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Saya tidak terkejut dengan kenyataan Presiden PAS itu. Ia selari dengan dasar baharu PAS yang menganggap DAP musuhnya," kata Lim.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata beliau menerima cabaran PAS itu dan mempelawa bekas sekutunya itu bertanding di kerusi negerinya Air Putih.

Ketika diminta mengulas cadangan timbalan presiden PKR Azmin Ali supaya membenarkan PAS menyertai pakatan baharu pembangkang, Lim berkata, adalah mustahil bagi DAP berada dalam gabungan yang sama dengan PAS.