Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan menunggu surat arahan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berikutan dakwaan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah yang mengarahkan parti itu mengadakan semula pemilihan parti itu semalam.'

Menurut Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mengadakan mesyuarat tergempar bersama ahli Jawatankuasa Tertinggi parti itu petang tadi menegaskan, DAP akan cuba mengadakan pertemuan dengan pihak RoS sebaik sahaja parti itu menerima surat rasmi daripada mereka.

"DAP mahukan pertemuan dengan RoS secepat mungkin sebaik kita menerima surat rasmi dari RoS untuk mengesahkan keputusan yang dibuat mereka pada media.

DAP ingin menegaskan pemilihan semula sudah dilaksanakan mengikut peraturan serta arahan dalam surat bertarikh 30 Julai 2013.

"Sehubungan itu, persoalan pemilihan semula baharu tidak berbangkit.

"Pihak CEC yang bermesyuarat hari ini juga menganggap kenyataan yang dibuat oleh RoS semalam amat memeranjatkan dengan menyatakan bahawa pemilihan yang diadakan pada 2013 adalah tidak sah," ujar Guan Eng.

Parti itu juga menyifatkan kenyataan media secara umum yang dibuat oleh pihak RoS semalam adalah tidak wajar dan sepatutnya perlu merujuk terlebih dahulu kepada parti DAP.

Guan Eng juga mempertikaikan kenapa tempoh yang lama sehingga empat tahun diambil oleh pihak RoS sebelum keputusan itu diambil sedangkan laporan pemilihan tersebut telahpun dihantar kepada RoS pada 8 November 2013.

Sehingga kini DAP menganggap arahan untuk mengadakan semula pemilihan parti itu sebagai isu yang tidak berbangkit dan pemilihan yang diadakan pada 2013 adalah mengikut prosedur dan syarat yang telah ditetapkan RoS.