Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil berkempen untuk calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson malam ini.

Ini merupakan penampilan pertama kali beliau berucap di khalayak selepas berehat lama kerana pembedahan pada pankreas tiga bulan lepas.

“Saya hampir tiga bulan tak berikan ucapan pada khalayak ramai disebabkan keadaan saya agak uzur.

“Ini pertama kali saya keluar dari Kuala Lumpur menyampaikan ucapan untuk nyatakan sokongan pada kawan,” katanya pada Majlis Doa Selamat, Tahlil dan Solat Hajat di Perkarangan Masjid Bagan Pinang Port Dickson.

Muhyiddin sebelum ini menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada pankreas pada 12 Julai lalu dan cuti berehat daripada tugas menterinya selama kira-kira sebulan.

Antara lain beliau berkata penduduk Port Dickson perlu membuat pilihan tepat dengan mengundi Anwar

Beliau berkata jika penduduk Port Dickson memilih Anwar maka presiden PKR dapat melakukan perubahan pada kawasan Parlimen itu.

“Bagi saya mesej di PD cukup penting bukan saja untuk negara tapi seluruh dunia.

“Dalam sistem demokrasi kita boleh pilih siapa kita suka. Tapi saya nak ingatkan kita harus tentukan masa depan dengan pilih tokoh dipercayai,” kata Muhyiddin.

Dalam ceramah itu beliau membidas dakwaan prestasi Pakatan Harapan menurun dan membelakangi rakyat.

Katanya, kerajaan PH sangat mementingkan rakyat bagaimanapun untuk memulihkan negara ia mengambil masa.

“Saya harap rakyat bersabar, tempoh lima bulan dalam tempoh percubaan, kita akan cuba sedaya upaya.

“Tapi buat masa kita laksanakan mana yang penting dulu,” tambahnya.