Pemimpin pembangkang diselar kerana didakwa tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Menurut Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, salah seorang daripada wakil rakyat yang sentiasa 'hilang' adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

"Banyak aduan saya terima daripada rakyat di sana. Mereka kata dia jarang dilihat di kawasan. Ini maklum balas yang saya terima.

"Lepas itu, dengar kata dia nak 'lari' ke kawasan lain. Tidak mahu lagi bertanding di Lembah Pantai. Tidak tahu betul atau tidak?" kata Shahrizat pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.


Tambahnya, prestasi Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di kawasan tersebut jauh lebih baik daripada Izzah kerana sering turun ke kawasan.

Shahrizat pernah menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai selama tiga penggal sebelum kalah kepada Nurul Izzah pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.