Dewan Pemuda Pas sokong kerjasama secara ta'awun dengan parti lain

Dewan Pemuda Pas sokong kerjasama secara ta'awun dengan parti lain
Mohd Khalil menyampaikan ucapan pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-59, 13 Sept, 2018. --fotoBERNAMA / Fail
KUALA NERUS: Muktamar Dewan Pemuda Pas ke 59 yang menutup tirai persidangan dua harinya di sini malam tadi, menyokong usul kerjasama secara ta'awun dengan parti lain termasuk UMNO demi menjaga kesejahteraan dan kepentingan rakyat serta Islam di negara ini.

Usul lain yang akan dibawa ke Muktamar Tahunan Pas ke 64 pada Sabtu dan Ahad ini di sini ialah Pas perlu mengukuhkan kerjasama politik dalam Gagasan Sejahtera dan mengiktiraf mereka sebagai kuasa semak dan imbang pentadbiran Pas.

Ketua Dewan Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam sidang media selepas muktamar itu berakhir, menegaskan kerjasama berkenaan bukan perkara baharu dalam Pas malah telah banyak dilaksanakan dengan parti lain terutama yang berkaitan Islam, Melayu dan rakyat.
"Apa yang kita persetujui dalam parti adalah ta'awun iaitu tolong menolong dan kerjasama yang melibatkan Islam, Melayu dan rakyat.

"Hingga pernah suatu ketika dulu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri keempat membawa usul mengenai penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam di Bosnia (Herzegovina) dan Palestin, kita (Pas) menyokong, jadi sekarang ini sama lah juga," katanya.

-- BERNAMA