Perjalanan Dewan Rakyat hari ini dilihat lebih tenang berbanding semalam walaupun beberapa kali berlaku pertikaman lidah.

Kejayaan mengawal perjalanan Dewan Rakyat itu hadir tatkala ia dikendalikan Timbalan Yang Dipertua, Nga Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan.

Ketika mengendalikan sidang, beliau turut menyampaikan ucapan selain menyelitkan tiga persoalan yang ditujukan kepada semua Ahli Dewan Rakyat (YB).

"Pertama, adakah apa yang dikatakan YB dalam dewan ini benar-benar membawa kebaikan kepada rakyat dan negara kita atau sekadar menjadi jaguh tetapi tidak berisi.

"Kedua, adakah rakyat di kawasan yang diwakili oleh YB akan berasa bangga dengan hujah, ucapan atau tingkah laku yang berhormat dalam dewan yang mulia ini, atau sebaliknya akan berasa malu dengan kelakukan YB.

"Ketiga, adakah hujah YB benar-benar berasaskan kepada fakta dan statistik atau hanya merupakan retorik kosong sahaja," soal Kor Ming.


Ucapan dan persoalan yang diungkap beliau itu mendapat respon positif apabila majoriti anggota Dewan Rakyat menepuk meja sebagai tanda setuju terhadap Kor Ming.

Tambah Kor Ming, Ahli-ahli Parlimen perlu sedar bahawa rakyat sedang menilai setiap tingkah laku yang dilakukan.

Beliau turut berharap Kerajaan pada ketika ini menunjukkan teladan yang baik, bersih, cekap, integriti dan beramanah dalam urus tadbir.

Sementara, kepada pembangkang beliau mahu barisan yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memainkan peranan penting secara konstruktif.