Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron hari ini menyatakan sokongan teguh kepada UMNO negeri bagi membentuk gabungan kerajaan baharu di negeri ini.

Pendirian Ketua Pembangkang itu sekali gus melenyapkan spekulasi kononnya beliau enggan memberi kerjasama menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

“Mesyuarat tadi agak ‘suspen’ kerana di peringkat penghujungnya saya mengucapkan selamat tinggal pada Barisan Nasional (BN), tetapi saya alu-alukan pula kehadiran saya dalam Perikatan Nasional.

“Setelah saya umumkan akan memeluk Perikatan Nasional, rasa macam menang Pilihan Raya apabila semua rakan memeluk saya,” katanya sambil berseloroh.

Idris menyatakan pendirian itu pada sidang media selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini malam ini.



Terdahulu Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini menegaskan, pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa sekaligus mengesahkan beliau kekal sebagai ketua menteri sehingga kini meskipun komposisi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berubah susulan langkah Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) keluar daripada gabungan PH.

Ia menjadikan PH dan Barisan Nasional negeri masing-masing mempunyai 13 kerusi DUN manakala BERSATU dua kerusi.

Ab Rauf pada semalam kemudiannya, menyangkal dakwaan berkenaan dan menggesa Adly mengemukakan bukti mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

Mengulas lanjut Idris berkata, beliau berterima kepada Ab Rauf dan pemimpin UMNO negeri yang memahami situasinya sehingga menimbulkan pelbagai andaian terhadap dirinya.

“Pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan beberapa pihak yang mungkin tidak begitu memperhalusi dan memahami situasi saya. Jadi malam ini saya minta Datuk Rauf bantu saya, beri penjelasan kepada mereka yang melemparkan fitnah ini.

“Ini kerana ia tidak akan membawa sebuah kekuatan kepada parti bahkan dibenci lagi oleh masyarakat.

“Hari ini UMNO tidak boleh fikir seperti dia kerajaan yang kuat dahulu, kita mesti fikir sebagai pembangkang kerana kalau jadi kerajaan sekalipun adalah untuk mengekalkan kasih dan sayang rakyat kepada UMNO sendiri,” katanya.