Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akur dengan keputusan Jabatan Imigresen Malaysia untuk melarangnya daripada meninggalkan negara.

Bekas perdana menteri itu menerusi status yang dikirim di laman Twitter rasmi beliau berkata, susulan keputusan itu, beliau akan kekal di dalam Malaysia bersama keluarganya.







Jabatan Imigresen Malaysia sebelum ini mengesahkan bahawa Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam dari keluar negara menerusi status yang dikirim di akaun Twitter rasmi jabatan itu pagi ini.


Terdahulu, Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali menafikan Najib disenarai hitam untuk keluar negara kepada sebuah portal berita tempatan.

BACA: Najib dan Rosmah tidak berlepas dari LTAAS, tiada arahan tahan - Polis

Sebelum ini, menurut sumber, ada sebuah pesawat persendirian yang berpangkalan di Indonesia dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Sumber tersebut memaklumkan kepada Astro AWANI, nama penumpang yang bakal menaiki pesawat tersebut adalah bekas pemimpin Malaysia serta isterinya.