Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin nyata hampir tidak dapat mengawal emosinya apabila beliau mengoyakkan kertas ‘cai’ atau senarai nama yang perlu diundi, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan terakhir beliau sebagai Timbalan Ketua AMK.

Perbuatan demikian, bukan sahaja menggemparkan para perwakilan Kongres Tahunan AMK di IDCC Shah Alam, malah mereka turut bersorak dan bertepuk tangan.

Dr Afif berkata, beliau sangat kecewa kerana Pemilihan PKR 2018, yang sepatutnya proses memilih calon yang benar-benar berkelayakan untuk menerajui parti, sebaliknya telah ditentukan melalui senarai oleh mereka yang berkepentingan sahaja.

“Di awal proses pemilihan, saya dan kawan-kawan tawarkan pelbagai manifesto. Saya tampil dengan pasukan Keadilan Masa Hadapan. Kita bercerita soal apa kita inginkan untuk parti, apa kita nak buat, dan bicara bagaimana nak perkukuhkan parti ini.

"Itu di awal pemilihan. Masuk minggu kedua pemilihan tak ada siapa lagi persoal manifesto. Sebaliknya, ada pakai cai, ada cop pakai resit, pakai pelekat..ini semua taktik,” katanya lagi.

Dr Afif, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya berkata, beliau kecewa kerana pemilihan parti berlangsung dalam tempoh sembilan minggu, satu jangka masa yang bukan sahaja lama, tetapi memenatkan

Tambah memeritkan lagi, segala manifesto dan janji semuanya ditolak tepi, hanya dengan meletakkan kertas ‘cai’ di tepi tablet, semata-mata mempengaruhi ahli yang ingin mengundi.

“Saya nak anda fikirkan. Senipis inikah nilai masa depan Parti Keadilan Rakyat?” soalnya lagi sambil mengoyakkan kertas dipercayai ‘cai’ yang berpihak kepada calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, dan senarai pilihannya di semua peringkat jawatan.

Sehubungan itu, Dr Afif menggesa agar kepimpinan parti yang baharu, dapat melihat semula proses pemilihan ini kerana ia tidak mencerminkan proses demokrasi yang seringkali dilaungkan sebagai prinsip asas penubuhan PKR.