Berita  |  Politik

Dr Mahathir tanam politik kebencian - Mahdzir

Dr Mahathir tanam politik kebencian - Mahdzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) bergambar dengan para anggota UMNO ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh. -Bernama
PASIR PUTEH: Politik yang dimainkan oleh pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan politik menanam kebencian terhadap kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cara politik yang dibawa Dr Mahathir menanam kebencian dan menyalahkan kerajaan persekutuan dalam apa jua perkara.

Katanya, semua yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dianggap Dr Mahathir tidak betul.
Sebagai contoh, katanya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disifatkan projek untuk menjual negara oleh bekas perdana menteri keempat itu.

Mahdzir menambah, cara politik kebencian kepada kerajaan yang dibawa beliau melalui platform Pakatan Harapan disifatkan sebagai berbahaya.

Cara politik kebencian yang ditanam oleh pembangkang Pakatan Harapan ini menyebabkan rakyat menjadi benci kepada kerajaan.

Katanya cara berpolitik sebegini berbahaya bagi sebuah negara pelbagai kaum yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama.

Mahdzir berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO Bahagian Pasir Puteh, di sini, petang tadi.