Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menolak khabar angin bahawa sekeping gambar yang diambil pada Jumaat yang memaparkan seluruh jemaah menteri, menandakan akan berlaku rombakan Kabinet tidak lama lagi.

Sebaliknya, kata beliau gambar itu diambil sebelum mesyuarat mingguan di Pejabat Perdana Menteri bagi menandakan pertemuan yang jarang-jarang berlaku apabila semua menteri hadir tanpa pengecualian.

Gambar tersebut dikongsi beberapa menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di media sosial pada Jumaat.

"Semalam merupakan salah satu masa ketika mana semua anggota jemaah menteri hadir.

"Jadi kami mahu ambil gambar semua anggota kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Serdang pada Sabtu.

Berikutan itu, ramai yang beranggapan bahawa rombakan kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mahathir juga membidas kenyataan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah pada Khamis bahawa perselisihan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

"Dia mempunyai banyak pengalaman dengan Semangat 46. Jadi dia tahu semua tentang semuanya," katanya sinis.

Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 pada tahun 1989 selepas UMNO diharamkan dan beliau gagal mengalahkan Dr Mahathir untuk jawatan presiden UMNO pada pemilihan parti itu dua tahun sebelumnya.

Selepas mengharungi dua pilihanraya umum, parti Semangat 46 yang turut dianggotai oleh Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Ibrahim Ali serta ramai lagi pemimpin UMNO itu dibubarkan dan mereka semua kembali ke pangkuan parti asal.