Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pulau Pinang akan tetap menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dalam satu kenyataan bersama hari ini menegaskan akan terus bersama PH di negeri itu.

"Kami bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan telah diberi sokongan oleh pengundi untuk menentang kerajaan kleptokrat selain membina Malaysia baharu yang lebih berintegriti.

"Kami akan terus bersama Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Datuk Marzuki Yahya dan kepimpinan parti negeri sepakat akan membawa mandat rakyat ini untuk terus bersama menyokong kerajaan PH di Pulau Pinang," kata mereka dalam kenyataan itu pada Jumaat.

Pada Khamis, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meminta kedua-dua ADUN terbabit untuk menyatakan pendirian mereka dengan jelas dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang susulan keadaan politik negara pada waktu ini.

Kon Yeow berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya tidak akan mengambil sebarang tindakan segera terhadap kedua-dua ADUN itu.

Bagaimanapun tindakan susulan akan diambil sekiranya pendirian Bersatu di peringkat tertinggi dinyatakan dengan jelas.

Tambahnya, antara tindakan yang boleh diambil adalah meminta kedua-dua ADUN tersebut mengosongkan kerusi mereka dan mengadakan pilihan raya kecil.

Menurut undang-undang anti lompat parti Kerajaan Pulau Pinang, tindakan mengosongkan kerusi boleh diambil sekiranya pendirian mereka dinyatakan dengan jelas nanti.

Minggu lalu, Kon Yeow mengesahkan status quo dua ADUN Bersatu Pulau Pinang adalah kekal sama sehingga keputusan lanjut daripada Kerajaan Persekutuan dibuat kelak.

Keputusan itu dibuat selepas Kon Yeow mengadakan pertemuan dengan Khaliq dan Zolkifly di pejabatnya.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua ADUN terbabit komited menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri PH Pulau Pinang.

Pertemuan itu susulan pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa parti itu keluar daripada PH pada 24 Februari lalu.