Menjelang pemilihan UMNO hari ini, dua anggota Bahagian Bagan parti itu hilang kelayakan bertanding jawatan tertinggi peringkat bahagian apabila menerima surat pemecatan keanggotaan pada Jumaat.

Mohamad Afendi Azni, 45, dan Shahbani Mat Diasa, 54, masing-masing bakal merebut jawatan Ketua Bahagian dan Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan mendakwa menerima surat itu pada Jumaat.

Surat daripada Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang bertarikh 27 Jun yang ditandatangani Setiausaha Kerja II UMNO negeri Ahmad Sahar Shuib memaklumkan bahawa kedua-dua mereka dipecat keanggotaan berkuatkuasa serta-merta, selaras Fasa 20.8 dan 20.9 (d) perlembagaan UMNO (Tataetika Ahli UMNO).

Mohamad Afendi yang juga Naib Ketua Pemuda Bahagian Bagan selama dua penggal, ketika dihubungi mendakwa antara punca beliau dipecat keanggotaan parti itu adalah kerana tindakannya bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Bagan.

Beliau akan membuat laporan polis mengenai perkara itu malam ini.

Mohamad Afendi berkata beliau langsung tidak mengetahui terdapat sebarang aduan terhadapnya sehingga menerima surat pemecatan keanggotaan semalam, sehari sebelum pemilihan parti berlangsung.

"Kalau terdapat sebarang aduan dibuat terhadap saya, sepatutnya saya dipanggil untuk memberi keterangan atau membela diri... tetapi saya langsung tidak dipanggil oleh ibu pejabat UMNO (pusat dan negeri)," katanya.

Mengikut jadual, beliau akan menentang Ketua Bahagian Bagan Datuk Shaik Hussein Mydin manakala Shahbani akan menentang Naib Ketua Bahagian Mohd Nor Hussin.

Sementara itu, Setiausaha UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika dihubungi mengesahkan surat pemecatan itu dan berkata kedua-dua mereka dipecat kerana UMNO menerima aduan bahawa mereka bersekongkol dengan pakatan pembangkang.

"Aduan itu diterima daripada Bahagian Bagan pada awal bulan ini dan UMNO negeri telah menyerahkan perkara itu untuk diambil tindakan oleh UMNO pusat," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, kedua-dua mereka hilang kelayakan untuk bertanding pada pemilihan UMNO Bahagian hari ini dan mereka juga tidak perlu hadir.

-- BERNAMA