Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang sebelum ini dilaporkan diserang angin ahmar buat kali kedua masih mahu bertanding sekiranya dipilih menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14 ini (PRU14).

Beliau yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, beliau bersedia memberi komitmen dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Gua Musang.

"Saya akan bekerja kuat sekiranya dipilih untuk menjadi calon dan akan memberi sumbangan kepada kemenangan BN di Kelantan.

"Dan, perkara penting ialah, kesinambungan daripada janji kita untuk menjadikan peneroka mendapat geran, dan perumahan generasi kedua yang sering kali menimbulkan masalah kepada kita.

"Dan perkara ketiga ialah, untuk menjadikan kawasan DUN Paloh ini disempurnakan, apa yang menjadi masalah kepada penduduk DUN Paloh. Dan saya rasa perkara yang kita buat telah mencapai 80 peratus," katanya.

Menurut Nozula, masalah kesihatan yang dihadapinya sebelum ini tidak menjadi penghalang kerana beliau sudah semakin sembuh serta masih mampu berkerja untuk rakyat.

Beliau sebelum ini dilaporkan diserang angin ahmar buat kali kedua selepas serangan kali pertama beberapa tahun lalu.