Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Balakong bakal menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dan MCA.

Calon PH adalah dari parti DAP, iaitu ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Wong Siew Ki, sementara mewakili MCA adalah ahli perniagaan Tan Chee Teong.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Balakong Datuk Rosli Othman membuat pengumuman selepas semua calon menghantar kertas penamaan.

Menurutnya, Tan telah mengemukakan kertas penamaan pada 9.06 pagi manakala Wong pada 9.13 pagi.

"Saya telah semak kertas-kertas penamaan tersebut dan setelah disemak, saya berpuas hati, tiada calon yg ditolak kertas penamaannya," kata Rosli.

Terdahulu hari ini, kedua-dua calon tiba di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di sini sebelum jam 9 pagi.

Mereka diiringi pemimpin parti masing-masing.

Calon DAP diiringi Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook, serta lebih 150 penyokong.

Calon MCA pula diiringi Timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda MCA Datuk Choong Sin Woon.

Kerusi Balakong kosong susulan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam satu kemalangan jalan raya.

Hari pengundian bagi kerusi DUN Balakong ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 8 September, manakala pengundian awal pada 4 September.

Sementara itu Lim menyeru pengundi Dun Balakong memberi peluang kepada calon wanita PH.

“Calon kita seorang wanita, seorang anak muda iaitu Cik Wong Siew Ki. Saya berharap pengundi-pengundi boleh beri sokongan kepada beliau.

“Berilah peluang kepada seorang wanita kerana kita (PH) mahu perbanyakkan penglibatan wanita dan juga anak muda dalam kerajaan,” katanya.

Dr Wee pula ketika ditemui di pusat penamaan calon berkata, walaupun MCA tidak menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada PRK kali ini, parti tersebut tetap mendapat sokongan parti komponen BN yang lain.

Malah katanya, bekas parti komponen BN, Gerakan, juga turut menghantar ahli-ahlinya bagi menunjukkan sokongan kepada calon MCA.

“Ini kali pertama Mca menggunakan logo sendiri untuk bertanding. Saya ucap terima kasih kepada semua penyokong yang datang.

“Ada yang datang daripada parti-parti komponen BN dan ada juga bekas parti komponen BN, iaitu Gerakan yang turut hadir memberi sokongan secara sukarela,” katanya.