Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

DUN Selangor lulus usul desak kerajaan wujudkan undang-undang anti lompat parti

DUN Selangor lulus usul desak kerajaan wujudkan undang-undang anti lompat parti
Usul yang dipersetujui itu akan dihantar ke Parlimen dalam tempoh dua minggu lagi bagi diteliti jika ada keperluan untuk digubal.
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal rang undang-undang anti lompat parti.

Usul yang dibawa R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) itu adalah bagi menghalang mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti dan ia mendapat sokongan sebulat suara ahli dewan berkenaan.
Sementara itu, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata usul tersebut diluluskan sebagai gesaan sekiranya ada mana-mana wakil rakyat melompat parti, mereka perlu mengosongkan kerusi tersebut demi mempertahankan mandat yang diberikan menerusi pilihan raya.

Beliau berkata usul asal yang dibawa oleh Rajiv pada mulanya adalah untuk menggesa kerajaan negeri meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor supaya kerusi ADUN yang melompat parti dikosongkan.
"Sebagai ADUN termasuk saya, (ada kemungkinan) sesiapa pun dipilih dalam mana-mana pilihan raya apabila sampai satu masa, mereka (akan) lompat parti, khianat dan sebagainya dengan alasan tertentu.

"Solusinya hari ini, kita di DUN tidak ada hak untuk ubah undang-undang ini, jadi kita menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang anti lompat parti," katanya kepada pemberita di lobi DUN di sini hari ini.

Beliau berkata usul yang dipersetujui itu akan dihantar ke Parlimen dalam tempoh dua minggu lagi bagi diteliti jika ada keperluan untuk digubal.

Pada masa sama, Ng berkata sebanyak enam usul diluluskan sepanjang sidang DUN empat hari yang bermula Isnin lepas iaitu Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor, pembasmian kemiskinan, pengurusan sumber air Selangor, penilaian prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT), mempercepatkan proses penggantian paip di Selangor serta anti lompat parti.

Mengulas perjalanan sidang kali ini, beliau berkata ia berjalan lancar malah sikap ADUN kerajaan dan blok pembangkang dipuji kerana berbahas secara profesional.

Persidangan DUN Selangor ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

-- BERNAMA


Tag: ADUN, DUN Selangor, rang undang-undang, anti, lompat parti, pilihan raya, pembangkang, undang-undang, rakyat, kerajaan, ekonomi, Parlimen



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.