ECRL, 1MDB wujud untuk biayai aktiviti politik kerajaan terdahulu - Jomo

ECRL, 1MDB wujud untuk biayai aktiviti politik kerajaan terdahulu - Jomo
DR JOMO: Tujuan utama ECRL secara spesifiknya adalah untuk mendapatkan duit bagi pilihan raya umum yang lepas. -Gambar fail
GOMBAK: Kerajaan Barisan Nasional terdahulu dipercayai mempercepatkan proses kelulusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mendapatkan pembiayaan dana politik, dakwa ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Penasihat Kanan Institut Kajian Khazanah (KRI) itu berkata ia berdasarkan bagaimana tindakan mereka mendapatkan kelulusan Kabinet pada hujung 2017 dan terus memulakan projek pada awal 2018.

“Tujuan utama ECRL secara spesifiknya adalah untuk mendapatkan duit bagi pilihan raya umum yang lepas.

"Kos fasa pertama ECRL sekitar RM45 bilion, itu fasa pertama. Dan Exim Bank dari China bersedia membiayai projek itu, dan kadar bunga akan bertambah dan seterusnya menjadi sebahagian daripada bayaran prinsipal.
“(Mengikut perjanjian itu), Malaysia tidak perlu bayar untuk enam tahun pertama, dan itu akan diturunkan pada generasi seterusnya.

"Corak ini juga terdapat pada skim-skim (projek mega) lain dan ia sangat tidak bertanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Forum GE14 and the Year Since di Universiti Islam Antarabangsa, pagi tadi.

Jomo berkata perkara itu merupakan sesuatu kebiasaan sewaktu Malaysia diperintah oleh kerajaan terdahulu.

Selain itu, katanya lagi, 1MDB juga diwujudkan untuk tujuan yang sama, iaitu mendapatkan dana politik khusus untuk pilihan raya umum.

Atas sebab itu, beliau berkata, kemenangan penukaran rejim sewaktu PRU yang lepas memberi peluang kepada Malaysia untuk mengubah banyak perkara, termasuk mengkaji semula akta berkaitan dana pembiayaan politik.

“Kita mempunyai peluang untuk mewujudkan sistem khusus untuk pembiayaan politik, dan memastikan parti-parti politik tidak lagi boleh mendapatkan wang dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan ataupun, melalui cara yang haram.

“Ini sangat penting...anda boleh cakap apa sahaja, tetapi ia tidak akan berjaya melainkan kita mempunyai peraturan tegas atau sumber kewangan alternatif bagi parti-parti politik ini,” katanya lagi.