Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama samaran supaya menutup akaunnya demi mengelak berlaku perpecahan dalam parti.

Tuan Ibrahim menamakan akaun Facebook Tok Usin Ceroi (TUC) yang didakwanya mengajak orang ramai mendekati dosa dan merosakkan hubungan dalam jamaah.

"Wahai TUC, Saya tidak mengenali anda. Tetapi anda kata anda menulis kerana sayangkan jamaah.

"Hakikatnya, tulisan anda banyak merosakkan hubungan dalam jamaah dan mengajak ramai mendekati dosa dengan membuka ruang fitnah dan su'zan di kalangan anggota jamaah. Anda cuba membeza-bezakan sesama di antara ahli PAS," tulis Tuan Ibrahim di laman Facebooknya hari ini.

fb tuan ibrahim
Tulisan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di laman Facebooknya yang menasihatkan akaun Facebook hantu ditutup kerana memecah belahkan PAS

Katanya, akibat tulisan yang disiarkan pemilik akaun facebook hantu itu, ramai ahli PAS yang menaruh buruk sangka sesama sendiri dan keluarga yang rosak perhubungan mereka.

"Oleh itu, di sini saya nasihatkan agar anda tutuplah akaun anda. Atau buatlah apa yang anda suka, kerana yang menanti kita di akhir adalah kematian," tulis beliau lagi.

fb tok usin ceroi
Laman Facebook yang menggunakan nama Tok Usin Ceroi dikatakan antara penyebab berlaku perpecahan dalam PAS

Menjelang pemilihan PAS Jun nanti, beberapa akaun Facebook yang tidak dikenali pemiliknya sangat aktif mengkritik pemimpin parti itu yang dikatakan tidak sehaluan dengan golongan agamawan dalam PAS.

El-Haraki, Tok Usin Ceroi (TUC) dan Keli Laut merupakan antara yang dinamakan sebagai akaun Facebook hantu yang mengkritik kumpulan pemimpin pro Pakatan Rakyat dalam PAS.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa antara pemimpin PAS yang pernah mendakwa akaun Facebook hantu sebagai antara punca berlaku perpecahan dalam PAS hari ini.