Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan empat langkah perlu dilakukan pemimpin UMNO dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti sekali gus memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mengekalkan kerajaan sedia ada.

Ahmad Zahid berkata langkah pertama adalah pemimpin mesti turun ke bawah mendekati akar umbi pada setiap masa supaya tidak digelar pemimpin bermusim yang hanya turun sewaktu pemilihan parti dan pilihan raya umum sahaja.

"Dengarlah suara akar umbi...kita bukan (pemimpin) bermusim, kita pemimpin setiap masa tanpa musim. (Langkah) kedua pemimpin harus sehaluan. Tidak ada seorang pun dalam kalangan kita (anggota UMNO) mahu tengok pemimpin bergaduh," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Merbok di sini Jumaat malam.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bahsah Md Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Merbok merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, sekiranya pemimpin ingin memilih calon untuk pilihan raya umum perlulah memilih calon yang boleh menang dan disukai dalam langkah ketiga manakala langkah keempat pula pemimpin mestilah keluar daripada zon selesa.