Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan meninggalkan parti yang disertainya sejak 20 tahun lalu.

Setiausaha politiknya Hilman Idham menjelaskan adalah sesuatu yang mustahil bagi Azmin untuk meninggalkan PKR kerana ia adalah asas politiknya.

Hilman berkata demikian bagi menafikan satu mesej melalui WhatsApp yang tular pada Rabu kononnya Mohamed Azmin akan membawa 10 pemimpin PKR menyertai Bersatu dalam masa terdekat, lapor The Malaysian Insight.

“Malangnya, itu tidak akan berlaku. Mohamed Azmin akan tetap bersama PKR,” katanya yang juga Timbalan Ketua AMK.

Hilman menegaskan Azmin mempunyai dukungan yang cukup kuat dalam kalangan pimpinan PKR sama ada dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu menyifatkan cakap-cakap bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu akan meninggalkan PKR merupakan satu fitnah.

“Fitnah ini datang daripada orang yang kalah dan selalu kalah dengan Azmin.

“Memang hasrat mereka supaya Azmin keluar dan mereka boleh tunggang parti ini sesuka hati mereka," katanya lagi.

Mesej yang tular itu menamakan beberapa pimpinan PKR lain antaranya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin dan Menteri Luar Negeri Datuk Saifudin Abdullah akan turut keluar parti.