UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak wajar dijadikan 'punching bag' apatah lagi tatkala parti sedang diuji dengan cabaran hebat untuk terus bangkit dan relevan di dalam kerangka politik tempatan dan nasional.

Demikian ditegaskan oleh Ketua Pemuda Umno Sabah Ir. Abdul Aziz Julkarnain, dalam satu kenyataan berhubung tindakan Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang mengumumkan keluar dari UMNO hari ini.

Jelas beliau, Pemuda UMNO Sabah menghormati keputusan Anifah untuk meninggalkan UMNO namun adalah tidak wajar jika UMNO dan BN terus dipersalahkan tanpa ada alasan yang kukuh.

“Pemuda Umno Sabah menghormati keputusan beliau (Anifah) untuk meninggalkan Umno atas alasannya tersendiri kerana beliau berjanji semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lepas untuk meletakkan jawatan di dalam parti sekiranya UMNO dan BN gagal menunaikan janji dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.”

“Walaubagaimanapun, adalah tidak wajar jika UMNO dan BN dipersalahkan tanpa ada alasan yang kukuh,”katanya.

Tambah beliau, umum mengetahui bahawa perjuangan untuk menuntut hak-hak Sabah sudah bermula sejak dari tahun 1976 lagi terutamanya berkaitan dengan isu minyak, pulangan 40 peratus pendapatan bersih dikutip oleh kerajaan persekutuan kepada negeri dan status wilayah yang diturunkan menjadi hanya salah satu negeri di Malaysia.

Tegasnya, bermula pada tahun 2016 rakyat Sabah akhirnya berpeluang untuk mendapatkan kembali hak-hak yang diperjuangkan selama ini apabila kerajaan persekutuan komited untuk melakukannya selepas didesak oleh pemimpin-pemimpin UMNO Sabah pada masa itu yang mana akhirnya satu jawatankuasa teknikal kabinet diwujudkan.

“Ini adalah contoh jasa besar UMNO Sabah sejak berkuasa di negeri ini yang benar-benar serius dan komited untuk mengenal pasti isu kegagalan pematuhan dalam konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan dan laporan bertulis lain seperti Laporan Cobbold," katanya.