Perwakilan PKR Kelantan hari ini merayu semua anggota parti termasuk pucuk pimpinan untuk sama-sama mengembleng usaha membantu merampas negeri Kelantan yang telah sekian lama ditakluk parti lawan.

Wakil perwakilan PKR Kelantan, Ismail Mohamad turut menegur pemimpin parti khususnya yang mempunyai jawatan dalam kerajaan supaya tidak menganaktirikan akar umbi di Kelantan.

“Semua kita tahu bahawa Kelantan negeri termiskin di Malaysia walaupun hampir 100 peratus Melayu.

“Tetapi kami berjanji akan berjuang habis-habisan untuk mengambil alih pentadbiran di Kelantan daripada Pas dan inilah iltizam dan semangat kami untuk kembalikan maruah PKR di bumi Kelantan ini.

“Kepimpinan pun kenalah bantu kami, saya tidak mahu mereka (pimpinan) yang datang di ke Kelantan ini hanya melawat kerajaan kelantan sedangkan kami pejuang parti ini ditinggal sebagai anak tiri,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut katanya, usaha ini tidak akan mampu dilaksana tanpa sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada presiden parti.

“Hanya ada satu insan dilahirkan Allah untuk menerangi dan beri panduan kepada kita semua iaitu Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi mulai hari ini kita mesti istiqamah perkukuhkan perjuangan kita untuk jadi parti ulung di Malaysia ini," ujarnya.

Sementara itu PKR Sabah berharap Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Manis yang bakal diadakan tidak lama lagi, perlu dimenangi oleh calon Pakatan Harapan (PH).

Perwakilan Sabah, Mohd Amin Abd Mem, berkata tanpa mengira calon bertanding, beliau akan pastikan semua kepemimpinan parti di peringkat negeri turun padang untuk berkempen bagi memastikan kemenangan di kerusi berkenaan.

"Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah sudah membuat keputusan untuk menyokong siapa saja calon yang dinamakan serta direstui oleh Majlis Presiden PH.

"Justeru, saya memohon semua perwakilan, termasuk kepemimpinan parti di peringkat negeri dan Pusat supaya sama-sama datang berkempen dalam PRK Kimanis kelak bagi mengangkat calon PH sebagai wakil rakyat baharu di kawasan berkenaan," katanya.

PRK Parlimen Kimanis dijangka diadakan susulan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tidak sah dan terbatal.