Tutup

Gesaan Ahmad Zahid terus bercuti hanya pandangan peribadi - Asyraf Wajdi

Gesaan Ahmad Zahid terus bercuti hanya pandangan peribadi - Asyraf Wajdi
ASYRAF: Tindakan pihak tertentu yang meminta agar Ahmad Zahid meninggalkan UMNO terus hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili keseluruhan pemimpin tertinggi parti itu. - Gambar fail
KEPALA BATAS: Kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO belum dibincangkan di peringkat tertinggi parti itu, dan ketika ini beliau masih presiden yang sedang bercuti.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan pihak tertentu yang meminta agar Ahmad Zahid meninggalkan UMNO terus hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili keseluruhan pemimpin tertinggi parti itu
Ujarnya, Ahmad Zahid masih Presiden UMNO tetapi menyerahkan tugas-tugas Presiden kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan sejak lima bulan lalu bagi mengukuhkan semula parti di peringkat akar umbi.

"Datuk Seri Zahid kembali dia adalah Presiden. Dia tidak berkurang pun dari segi kedudukannya, dia hanya bercuti.
"Jadi, tidak timbul soal nak bawa dia balik atau tidak. Ini soalnya atas pada Datuk Seri Zahid sama ada dia mahu kembali daripada bercuti ataupun tidak kerana dia tidak hilang jawatan apa-apa, dia masih lagi Presiden UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini ada pihak mendesak Datuk Zahid agar terus meninggalkan UMNO kerana dilihat gagal menerajui parti selepas 17 ahli parlimennya bertindak keluar parti.

Beliau juga dinasihatkan bercuti kerana sedang berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, UMNO tidak mempunyai masalah dalaman sebaliknya meminta rakyat menilai kecelaruan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) yang memerintah ketika ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang hari ini yang menyarankan Ahmad Zahid terus bercuti dan tidak mengambil semula tugas sebagai presiden parti itu.

Dakwa Maulizan, langkah itu perlu susulan wujud gerakan daripada penyokong Ahmad Zahid yang mahu membawa balik beliau daripada bercuti dan mengambil semula tugas sebagai Presiden UMNO.

Terdahulu, Asyraf mengagihkan 500 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai pada Program Ihya' Ramadan dan Pengagihan Bubur Lambuk di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Isnin.

Selain itu, beliau turut menyertai Program Ziarah Kasih Pemuda di Kampung Paya Keladi.

Program turut disertai Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.




Tag: Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, presiden yang sedang bercuti, Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO, Mohamad Hasan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.