UMNO Bahagian Gopeng akan menghantar 2,000 ahlinya untuk menyertai Himpunan Rakyat Bersatu di Bukit Bintang pada 16 September ini.

Ketuanya, Datuk Hamzah Kassim memberitahu bahawa penyertaan itu adalah bagi menunjukkan sokongan padu rakyat kepada kerajaan dan tindak balas bagi insiden peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar pemimpin negara.

Menurut beliau, tindakan memijak gambar pemimpin negara tidak sewajarnya berlaku kerana ia boleh menganggu gugat perpaduan di antara kaum dalam negara.

Katanya lagi, kemarahan atau ketidakpuasan dengan kerajaan seharusnya disalurkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan bukan dengan tindakan sedemikian.

Justeru itu, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan keras kepada individu yang memijak gambar ketika perhimpunan itu berlangsung.

Beliau ditemui bersama beberapa wakil NGO selepas membuat laporan polis berhubung individu memijak gambar berkenaan pada Jumaat.