Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengesahkan ada dalam kalangan wakil parti itu akan menyertai Kabinet Persekutuan.

Ini merupakan kali pertama Ahli Parlimen GPS dilantik menggalas jawatan tersebut selepas ditubuhkan dua tahun lalu.

Beliau bagaimanapun, enggan menamakan anggota Parlimen terbabit sebaliknya, menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkannya.

“Kita telah dilamar oleh kerajaan Pusat di bawah Perdana Menteri untuk menyertai pemerintahan sebagai ahli Kabinet kerajaan pusat.

“Oleh itu kita telah membuat keputusan akan menyertai Kabinet yang akan ditubuhkan,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, keputusan ini diambil atas dasar untuk menyelamatkan negara daripada kemelut politik dan ekonomi.

Pelantikan itu, kata beliau, tidak akan menggugat tuntutan Sarawak sebelum ini termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak cukai petroleum ke atas syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

“Antara kelebihannya untuk Sarawak adalah kita akan mampu untuk terus perjuangkan apa yang dikehendaki rakyat Sarawak melalui GPS.

“Ini bermakna suara dan aspirasi warga Bumi Kenyalang akan terus didengari dan mendapat perhatian dalam kabinet,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Julaihi Narawi berkata, PBB menyokong segala keputusan GPS.

“Agenda utama Sarawak ialah Sarawak First dan ini masih menjadi agenda utama kita misalnya hak-hak Sarawak dikembalikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Banyak lagi perkara yang kita perjuangkan selama ini dan masih terus menjadi keutamaan Sarawak walaupun kita bersama-sama dengan kerajaan Pusat yang ada pada hari ini,” ujar Julaihi.

Untuk rekod, GPS terus berpegang teguh dengan prinsip mesra kerajaan dan bukan ahli kepada Perikatan Nasional.