Guan Eng ucap tahniah kepada Ramli, Najib

Guan Eng ucap tahniah kepada Ramli, Najib
Guan Eng berkata, walaupun tewas, Pakatan Harapan tetap berbangga kerana berjaya mengurangkan jumlah majoriti yang dimenangi pihak lawan. - BERNAMA/Fail
GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Orang Asli pertama apabila berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam.

Pada masa sama, Guan Eng turut mengucapkan tahniah kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memimpin PRK itu sehingga BN berjaya mengekalkan kemenangan.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada UMNO dan Pas di atas gabungan mereka yang berjaya meraih sokongan daripada MCA dan MIC dalam PRK ini. Ia sesuatu di luar jangkaan," katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Pulau Pinang di sini, hari ini.

Walaupun tewas, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, kem Pakatan Harapan (PH) masih berbangga kerana berjaya menambah undi sebanyak tiga peratus selain mengurangkan jumlah majoriti yang dimenangi pihak lawan.
"Peratusan undi secara keseluruhannya turun sebanyak 10 peratus. Tetapi untuk kawasan-kawasan di mana kita kuat seperti di Tanah Rata, penurunan lebih jelas iaitu sebanyak 15 peratus. Itu antara sebab undi kita tidak dapat dimaksimakan.

"Bagaimanapun, kita masih berjaya menambah undi dah mengurangkan majoriti pihak lawan. Ini memberi galakan kepada kita untuk terus berjuang," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, BN menang kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan undi majoriti sebanyak 4,184 tetapi pada PRK semalam, Ramli menewaskan calon PH, M. Manogaran, dengan undi majoriti sebanyak 3,238.

Ramli meraih 12,038 undi manakala Manogaran mendapat 8,800 undi.

Turut bertanding pada PRK itu ialah dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib yang memperolehi 314 undi dan Wong Seng Yee, 276 undi.

PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh pada PRU14 terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 akibat tuduhan rasuah.




Tag: Najib Razak, Lim Guan Eng, Barisan Nasional, PRK Cameron Highlands, Pakatan Harapan, Ramli Mohd Noor


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.