Golongan muda, khususnya dari masyarakat India, harus menggunakan sepenuhnya peluang yang disediakan kerajaan melalui Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) demi pembangunan sosio-ekonomi kaum itu dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang.

Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivarraajh berkata, semua polisi yang diperkenalkan memberi impak positif selain membuktikan keseimbangan kerajaan dalam pembangunan kaum di negara ini.

"Kita menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memperjuangkan hak masyarakat India di negara ini.

"Ia bukti BN merupakan parti yang bervisi jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Transformasi Nasional 2050 (TN50) juga menitikberatkan pembangunan negara yang seimbang dan mengikut kehendak orang muda kerana mereka yang bakal menerajui negara dalam semua aspek kelak, tambahnya.

BACA: #MalaysiaMemilih: Pembangkang terdesak cari sokongan masyarakat India - Sivarraajh

BACA:
Pelan Induk Masyarakat India hak masyarakat India - Dr Subramaniam

Sivarraajh mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang mahu parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan masyarakat India bersatu hati menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai antara usaha untuk meningkatkan sokongan pengundi India kepada BN.

Ahmad Zahid berkata kerajaan BN sentiasa menghormati semua perayaan pelbagai kaum di negara ini termasuk pesta Ponggal yang diraikan oleh masyarakat India bagi membuktikan Malaysia sebuah negara harmoni.

Dalam perkembangan berasingan, Sivarraajh memberitahu, pemimpin muda berhak untuk menilai sumbangan dan polisi kerajaan yang lepas sama ada ia membawa impak baik atau sebaliknya.

"Teruk lagi, pembangkang yang menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pelbagai tuduhan dan nama dahulu, sekarang berkata Mahathir sahajalah yang dapat membawa perubahan politik.

"Bagi Pemuda MIC, Datuk Seri Najib Razak merupakan perdana menteri pertama yang mendengar dan memperkenalkan pelbagai insiatif untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat India.

"Maka tidak salah kalau memberi kredit kepada Najib atas jasa beliau untuk masyarakat India. Siivakumar hanya tahu bising tapi tidak ada pegangan," katanya merujuk kepada Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar.

Sebelum ini, Sivakumar berkata, pemimpin MIC tidak layak untuk bercakap mengenai keputusan Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.