Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir ke Kongres Maruah Melayu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hasan mengesahkan partinya telah menerima jemputan untuk ke kongres tersebut.

"Pas telah menerima jemputan daripada penganjur untuk menghadiri Kongres Maruah Melayu yang dijadual berlangsung pada 6 Oktober ini.

"Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pusat Pas mengambil ketetapan bersetuju untuk presiden menghadiri kongres tersebut sebagai tanda jiwa besar parti bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional dalam negara ini," katanya.

Kongres yang dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Penganjuran kongres tersebut mendapat kritikan bebeapa pemimpin UMNO yang mendakwa isntitusi pengajian tinggi telah digunakan sebagai alat politik.

Pas dan UMNO baru-baru ini telah menganjurkan Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC dan memeterai satu piagam yang dinamakan Muafakat Nasional.