Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai bukti berbentuk ‘penyata bank’ bahawa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membayar RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, bayaran itu sebagai penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan kedua-dua pihak.

“Nama saya Anwar Ibrahim, saya tak akan bercakap kalau saya tak ada fakta. Ni saya ada bukti, Pas, Haji Hadi bayar RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown.

“Kalau Pas nak cabar, boleh dakwa saya di mahkamah, saya ada bukti,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, di sini malam ini.

Awal hari ini, Anwar berkata beliau mempunyai maklumat yang cukup untuk membuktikan bahawa Pas ada membayar editor Sarawak Report itu sebagai penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan kedua-dua pihak.

“Saya baca seluruh prosiding daripada keputusan mahkamah, tidak dibangkitkan oleh Clare Rewcastle Brown ialah dana UMNO kepada Pas.

“Kemudian Pas menafikan disaman dan seterusnya mendapat persetujuan bersama Rewcastle tetapi bon itu tidak ditarik balik.

“Ia aneh sebab saya tahu bahawa penyelesaian bagi kes-kes saman sivil ialah kita tarik balik, permintaan maaf atau pun kes itu dipadamkan. Hal itu menyebabkan saya kurang yakin bahawa ada persetujuan utk Clare menafikan atau membatalkan,” kata Anwar

Kronologi dakwaan Pas terima dana RM90 juta:

6 OGOS 2016
Laporan Sarawak Report mendedahkan pemimpin Pas terima RM90 juta untuk sokong BN dan UMNO

21 APRIL 2017
Hadi Awang fail saman fitnah terhadap pengarang Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London

2 FEBRUARI 2019
Hadi Awang tarik balik saman terhadap Rewcastle Brown, kes diselesaikan luar mahkamah

7 FEBRUARI 2019
SPRM siasat kes Pas terima dana RM90 juta