Calon daripada kerajaan pemerintah, Parti Warisan Sabah (Warisan) mempunyai kelebihan untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Itulah persepsi yang dinyatakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung peluang Pakatan Harapan (PH) menawan kerusi Parlimen berkenaan.

Tanpa menjelaskan secara mendalam bentuk kelebihan itu, beliau berkata calon Warisan bakal menerima sokongan padu daripada PH terutamanya Bersatu Sabah bagi menggempur jentera pihak lawan.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Warisan perlu disokong dan didokong demi kestabilan politik di negeri Sabah.

Menurutnya, dengan keadaan politik negeri dan negara yang stabil, maka Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan program-program pembangunan untuk faedah rakyat.

"Sebagai Kerajaan Negeri saya ingat calon Warisan mempunyai kelebihan dan kita parti Pakatan Harapan daripada Bersatu akan membantu sedaya upaya untuk memenangi PRK Kimanis," katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Pimpinan Bersatu Sabah Bahagian Putatan di Kampung Sendil, Putatan, pada Sabtu.

Hadir sama adalah Bendahari Bersatu Negeri merangkap Ketua Bersatu Bahagian Kimanis, Datuk Mohd Arifin Arif dan Ketua Bersatu Bahagian Putatan, Datuk Seri Dr Arsit Sedi.

Mengulas lanjut mengenai persediaan Bersatu Sabah membantu komponen PH menghadapi PRK terbabit, Hajiji berkata, pihaknya sudah membuat langkah awal dengan mengambil pendekatan program mendekati rakyat di Kimanis.

"Bersatu di Kimanis telah mengaktifkan jentera pilihanraya semua peringkat sama ada sayap, Armada dan Srikandi.

"Kita akan bantu calon akan diletakkan oleh parti Warisan dan pastikan mereka menang dalam pilihan raya kecil ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program jelajah berkenaan, Hajiji berkata pihaknya bakal melengkapkan 20 siri jelajah di seluruh Sabah yang berakhir pada Mac tahun hadapan.

Jelasnya, antara intipati program jelajah itu dilakukan adalah memberi penerangan kepada akar umbi parti dan kelangsungan hubungan kerjasama dengan parti-parti di dalam komponen PH termasuklah Warisan.