Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa mengeluarkan garis panduan tambahan berhubung penggunaan bahan kempen semasa tempoh berkempen bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam satu kenyataan, pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata antara yang digariskan adalah penggunaan gambar ketika kempen yang dihadkan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Dihadkan kepada gambar dua orang pemimpin utama parti politik iaitu Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) bagi parti politik yang bertanding (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).

“Gambar untuk jawatan selain daripada Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) parti adalah tidak dibenarkan,” kata kenyataan itu.


Berikut ialah syarat-syarat tambahan bagi penggunaan bahan kempen PRU14:

1. Pemasangan bahan-bahan kempen mestilah mempunyai permit untuk mempamerkan bahan-bahan kempen kepada orang ramai dalam bahagian pilihan raya yang ditandinginya. Permit bahan kempen tersebut akan dikeluarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri tertakluk kepada terma dan syarat yang ditentukan di bawah Seksyen 24B (4), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

2. Dihadkan kepada gambar dua orang pemimpin utama parti politik iaitu Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) bagi parti politik yang bertanding (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).

3. Gambar untuk jawatan selain daripada Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) parti adalah tidak dibenarkan.

4. Bahan kempen tersebut boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua-dua pemimpin utama parti politik.

5. Gabungan gambar pemimpin utama parti politik di atas satu bahan kempen yang sama hanya dihadkan kepada Presiden (atau setaraf dengannya), Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya), Pengerusi Perhubungan Negeri Parti (atau setaraf dengannya), Menteri Besar/Ketua Menteri dan calon (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).

6. Jawatan selain daripada yang dinyatakan di atas adalah tidak dibenarkan.

7. Calon-calon yang bertanding mewakili parti politik dan ingin mengguna pakai lambang/simbol parti politik diminta agar memastikan lambang/simbol parti politik itu berdaftar dengan SPR.

8. Lambang/simbol parti politik bagi calon yang bertanding dan lambang/simbol parti komponen berdaftar sebagai gabungan/pakatan yang diwakili calon tersebut dibenarkan untuk dipamer secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya di mana calon tersebut bertanding.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin dan penyokong parti politik serta calon-calon yang bertanding untuk mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa lain.